|
Kaironnisam
Tidak Mahu
Mengalah |
Dikemaskini :
29 Jan 2008 05:46 PM
Episod berbeza
dirasai bekas kapten
negara, Kaironnisam
Sahabuddin Hussain
yang bukan saja
namanya tidak
disenaraikan dalam
skuad pelatih
kebangsaan, malah
pasukannya
UPB-MyTeam juga
berada di kelompok
bawahan Liga Super.
Bekas kapten skuad
negara berusia 29
tahun itu kali
terakhir menjalankan
tanggungjawabnya
ketika Kejohanan
Piala Asia tahun
lalu selepas
mengetuk pintu skuad
kebangsaan pada
Sukan Sea 2001
tetapi namanya tidak
disenaraikan B
Sathianathan bagi
kem latihan pertama
bermula Februari ini.
“Mungkin jodoh saya
belum habis lagi
bersama skuad
kebangsaan, bukan
saya sudah tidak
mahu tetapi setiap
jurulatih ada
kelainan dan
pandangan
masing-masing,
begitu juga dengan
Sathianathan,” kata
Kaironnisam.
Kapten MyTeam itu
menjelaskan dia
masih berharap untuk
disenaraikan ke
skuad kebangsaan
yang memiliki tiga
tugas utama termasuk
menyertai Pestabola
Merdeka, Kejohanan
Persekutuan Bola
Sepak Asean (AFF)
dan Sukan Sea Laos
2009.
Minggu lalu,
Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM)
menamakan 36 pemain
yang akan dipanggil
menyertai latihan
bersama skuad
kebangsaan kendalian
Sathianathan selama
empat hari bermula 3
Februari ini yang
memiliki gabungan
pemain muda dan baru.
Bagaimanapun, nama
Kaironnisam tidak
disenaraikan
sebaliknya pemain
tengah Pahang,
Sharil Faizal
Sharifuddin kembali
disenaraikan selepas
kali terakhir
dinamakan untuk misi
negara pada
kelayakan Piala
Dunia pada 2004.
“Saya masih tidak
mahu mengalah dan
akan cuba
mempamerkan
permainan sebenar
saya supaya nama
saya kembali
dimasukkan ke dalam
skuad kebangsaan,”
katanya.
Namun persembahan
tidak menentu
pasukannya yang kini
hanya mencatat dua
kemenangan dalam 10
perlawanan Liga
Super, sedikit
membimbangkan pemain
berasal dari Perlis
itu kerana ia
mungkin menjadi
faktor kenapa
namanya tidak
disenaraikan.
“Bagi saya, jika
jurulatih mengambil
kira prestasi
pasukan untuk
menyenaraikan pemain,
ia memang sukar buat
saya kerana pasukan
saya tidak berada
dalam prestasi
terbaik. Seharusnya
saya dilihat sebagai
individu bukannya
sebagai sebuah
pasukan.
“Memang ketika ini
ia agak sukar, kami
tidak banyak
menjaringkan gol dan
orang akan melihat
pertahanan kami
banyak bolos, tetapi
kami berusaha untuk
mengatasinya dalam
perlawanan lain
selepas ini,”
katanya.