Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Terbuka Korea : Hanya Beregu Wanita Terus Kibar Jalur Gemilang

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 25 Jan 2008 12:47 AM

 

Hanya gandingan Wong Pei Tty/Chin Eei Hui yang meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea pada ketika tiada seorang pun wakil negara melepasi halangan lawan masing-masing pada aksi pusingan kedua hari ini.

 

Gandingan Pei Tty / Eei Hui mudah menundukkan pasangan Jepun, Aki Akao / Tomomi Matsuda 21-12, 21-13 dalam masa 32 minit, namun kekecewaan terbesar skuad badminton negara adalah kegagalan perseorangan utama negara yang juga pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei, selepas menarik diri pada set ketiga menentang jaguh tuan rumah, Lee Hyun il.

 

Chong Wei menang set pertama 21-19, tewas set kedua 17-21, dan dikhabarkan menarik diri pada set ketiga akibat kecederaan, manakala wakil negara yang lain, Wong Choon Hann tunduk kepada pilihan kedua dari China, Bao Chunlai, 14-21, 21-15, 19-21, manakala Julia Wong turut tewas kepada pilihan kedua dari China, Zhang Ning 17-21, 21-19, 12-21.

 

Pasangan Zakry Abd Latif / Fairuzizuan Tazari tunduk kepada beregu Indonesia, Luluk Hadiyanto / Alven Yulianto Chandra 19-21, 21-19, 12-21, bekas beregu nombor satu dunia, Chew Choon Eng / Chan Chong Ming tunduk kepada pasangan tuan rumah yang merupakan pilihan ketiga, Jung Jae Sung / Lee Yong Dae 12-21, 23-21, 3-11.

 

Aksi beregu wanita pula menyaksikan gandingan Lim Pek Siah / Haw Chiou Hwee tewas di tangan Gao Ling / Zhao TingTing 15-21, 7-21.

 

Dengan hanya satu wakil di suku akhir esok, harapan untuk menyaksikan wakil negara di separuh akhir agak tipis setelah Pei Tty / Eei Hui dijadualkan bertemu pilihan ketiga kejohanan dari negara tuan rumah, Lee Kyung Won / Lee Hyo Jung yang menyingkirkan Anastasia Russkikh / Ekaterina Ananina dari Russia 21-14, 21-10.

 

Pertembungan lain yang dijangka menarik esok adalah pertemuan pilihan kelapan dari Denmark, Kenneth Jonnasen menentang pilihan keempat dari China, Chen Jin, pertemuan sesama sendiri dua pemain tuan rumah, Park Sung Hwan dan Lee Hyun il, pertemuan seorang lagi pemain pilihan dari China, Bao Chunlai menentang bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade Cristensen dan pertarungan antara pilihan utama kejohanan Lin Dan menentang jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

 

 

Cetak laman ini