Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Safee Wira Selangor

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 30 Jan 2008 02:25 PM

 

Dua gol Safee Sali dalam tempoh tiga minit pada babak kedua membantu Selangor mengatasi pendatang baru liga super, UPB MyTeam 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya malam tadi.

 

Setelah aksi hambar babak pertama, kedua-dua pasukan bangkit mempamerkan aksi menarik pada separuh masa kedua, dengan mencipta beberapa gerakan serta peluang jaringan, namun ketumpulan barisan penyudah mengagalkan usaha kedua-dua pasukan mencari gol pendahuluan.

 

Keadaan padang yang licin setelah hujan lebat pada sebelah petang, nyata menjejaskan gerakan kedua-dua pasukan, dengan UPB MyTeam memperoleh peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-70 menerusi gerakan solo Zamri Chin yang hanya berdepan Megat Amir Faisal di gawang gol, namun percubaannya terus kepada bekas penjaga gol negara itu.

 

Kesilapan Zamri dihukum Safee dua minit kemudian, menerusi satu rembatan cantik dari luar kotak penalti setelah menerima hantaran Indra Putra, sekaligus menewaskan Syed Adney yang menjangkakan bola tinggi melewati palang.

 

Pada ketika anak buah Bojan Hodak cuba menyusun kembali permainan, Safee sekali lagi muncul pemusnah setelah gerakan menariknya pada minit ke-76 berjaya mengelirukan pertahanan MyTeam sebelum melepaskan rembatan kencang yang sekali lagi gagal diselamatkan Syed Adney.

 

Dengan kemenangan ini, Selangor terus kekal di tangga kedua dengan memungut 23 mata, lima mata di belakang pendahulu Kedah yang turut mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang.

 

 

Cetak laman ini