Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Isu Qi Meritus, Jazeman Belum Ada Penyelesaian

 


Dikemaskini : 25 Jan 2008 07:39 PM

 

Status pasukan Qi Meritus dan pelumbanya, Jazeman Jaafar ( Gambar ) yang digantung kejuaraan Formula BMW Asia di Zhuhai, China, Oktober lalu masih belum menemui jalan penyelesaian, walaupun selepas pasukan itu membuat rayuan.

 

Meritus dikatakan menggunakan spring di kotak gear yang tidak mengikut piawaian diwajibkan - ditakrif lebih pendek daripada spring baru yang belum digunakan, namun, Meritus tidak diberi peluang untuk merayu dan mencabar dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka ketika itu.

 

Difahamkan, Meritus sudah mengemukakan notis dan pengesahan rayuan, mengikut kehendak Kod Sukan Antarabangsa dan menuntut sebutan rayuan di hadapan mahkamah kebangsaan di Zhuhai, gelanggang pusingan akhir Formula BMW Asia diadakan.

 

Kod Sukan Antarabangsa mewajibkan sebutan rayuan dilakukan selepas 30 hari, namun tiada sebutan rayuan dilakukan ketika itu. Meritus kini difahamkan, sudah memperoleh sokongan teknikal piawaian badan akreditasi United Kingdom (Ukas) yang menyokong rayuan dilakukan. Ukas juga adalah badan yang diiktiraf Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). Ketika ini, Meritus masih menanti maklumbalas FIA.

Bagaimanapun, kemelut yang belum dileraikan itu tidak melunturkan semangat Meritus terhadap kemampuan Jazeman, dan Presiden Qi Meritus, Peter Thompson menegaskan Jazeman masih mempunyai tempat dalam pasukannya dalam saingan GP2 Asia pada masa depan.

 

“Dia adalah pelumba muda penuh berbakat. Kemungkinan untuk dia kembali memang ada, ia terpulang kepadanya dan kami ada berbincang mengenainya. Tetapi dia kini sudah terikat dengan pasukan di Formula BMW Eropah dan khidmatnya terpaksa dilupakan buat masa ini,” kata Thompson yang ditemui selepas majlis pelancaran pasukan Qi Meritus dalam GP2 Asia di Dubai, kelmarin.

 

Tanpa Jazeman, Qi Meritus kini menaruh kepercayaan kepada pelumba Jepun, Hiroki Yoshimoto dan pelumba berbakat Itali, Luca Filippi pada pusingan pertama GP2 Asia di Dubai yang bermula esok sehingga Ahad ini.

 

 

Cetak laman ini