TNB LAKAR KENANGAN MANIS
Oleh: Hanim Junaibi
Bukit Jalil, 29 Julai;
Perlawanan akhir Piala TNB hari
ini mengukir sejarah apabila
gelaran juara menjadi milik
Tenaga Nasional Berhad (TNB),
sebuah pasukan yang tidak
dijangka boleh mengatasi pasukan
Ernst & Young (E&Y) di Stadium
Hoki 1 Bukit Jalil, petang tadi.
Bab pertama menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mengasak
gawang lawan masing-masing,
tetapi tiada sebarang gol
berjaya dihasilkan sehinggalah
S.Selvaraju memecahkan kebuntuan
dengan jaringan padang pada
minit ke-28.
Agak tertekan dengan gol pertama lawan, E&Y mula mempamerkan
permainan yang kurang kemas.
Namun E&Y bernasib baik kerana
pukulan sudut penalti yang
diterima berjaya disempurnakan
Zulkiffli Mohd. Rejab pada minit
ke-63. Keputusan perlawanan yang
terikat seri 1-1 mengheret
kepada masa tambahan selama 15
minit.
Pukulan penalti terpaksa diambil berikutan tiada sebarang gol
berjaya diperoleh pada masa
tambahan. Pukulan penentuan Mohd.
Sufian Mohamad yang tersasar
dari gawang gol mengundang padah
buat E&Y. Keputusan masa
perlawanan dan penalti TNB 8-7
E&Y.
TNB meraih wang kemenangan RM 25,000 manakala E&Y membawa
pulang RM 10,000. Jurulatih TNB,
K.Rajan adalah insan yang cukup
gembira dengan kemenangan
tersebut. “Kemenangan ini adalah
cukup manis buat kami”, katanya
sambil tersenyum penuh makna.
Sementara itu, S.Kumar (TNB) dinobatkan pemain terbaik
perlawanan akhir, pemain terbaik
kejohanan pula dianugerahkan
kepada Engku Abdul Malik Engku
Mohd. (Maybank). Jiwa Mohan (Sapura)
yang telah menjaringkan 22 gol
diumumkan selaku penjaring
terbanyak dan pemain harapan
dianugerahkan kepada Md. Nor
Hafiq Ghaffar (Sekolah Sukan
Bandar Penawar).