|
FAM Kecewa,
Dollah Sedia
Bersemuka |
Dikemaskini :
28 Mar 2008 08:19 PM
Persatuan
Bola Sepak Malaysia
(FAM) melahirkan
rasa kecewa terhadap
tindakan empat
pemain Selangor yang
bertindak
meninggalkan klinik
bolasepak Ian Rush
tanpa kebenaran,
kelmarin, dan akan
tampil menuntut
penjelasan daripada
Persatuan Bola Sepak
Selangor (FAS)
sebelum sebarang
hukuman dikenakan.
Timbalan Presidennya,
Khairy Jamaluddin
yang peka dengan
insiden itu meminta
Setiausaha Agong,
Datuk Azzuddin Ahmad
menulis surat kepada
pihak terbabit itu
menuntut penjelasan
dan mahu mendapatkan
segera gambaran
sebenar.
“Kita minta mereka
jelaskan kenapa
pemain itu tidak
ikut klinik sehingga
sesi itu tamat. Ia
jelas bercanggahan
dengan apa yang kita
utamakan dalam bola
sepak,” kata Khairy
dalam sidang media
pelancaran Jelajah
Chelsea di Seri
Kembangan, semalam.
Keadaan itu
dikatakan berpunca
daripada arahan
jurulatih Selangor,
Dollah Salleh yang
mahu pemainnya
menyertai latihan
skuad sebagai
persiapan perlawanan
Piala FA menentang
Perak, semalam.
Bagi Dollah, dia
sanggup bersemuka
dengan FAM bagi
menjelaskan
tindakannya
mengarahkan
keempat-empat pemain
itu kembali
menjalani latihan
bersama skuad
Selangor kelmarin.
“Tidak perlu
salahkan pemain,
jika FAM mahukan
saya tampil
menjelaskan masalah
ini saya akan
berbuat demikian
untuk menjelaskan
tindakan saya dan
menyelesaikan
perkara ini secara
baik, ” kata Dollah
yang ditemui selepas
Majlis Sarapan Pagi
Pemain-pemain
Selangor bersama
Menteri Besar
Selangor, semalam.