Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Litar Sepang Saksi Kejaguhan Ferrari

 

Siti Hawa


Dikemaskini : 25 Mar 2008 02:42 PM

Bermula dari petak kedua, Kimi Raikkonen memacu jentera Ferrari untuk menjuarai perlumbaan pusingan kedua, Grand Prix Malaysia Petronas 2008 apabila jauh meninggalkan pesaing lain di Litar Sepang, semalam.

Begitupun, hasrat Ferrari untuk mencatat penyudahan 1-2 di depan sejumlah 126,690 penonton tertinggi dalam sejarah pada edisi ke-10 GP Malaysia tidak kesampaian apabila pemandu petak pertama dan rakan sepasukan, Felipe Massa yang menguasai saingan selepas bermula, terbabas dan gagal meneruskan perlumbaan pada pusingan ke-30.

Ia sekali gus membuka ruang buat pemandu BMW Sauber, Robert Kubica dan pemandu McLaren Mercedes, Heikki Kovalainen masing-masing di tempat kedua dan ketiga untuk menyertai Raikkonen dengan megah di podium.

Raikkonen, juara bertahan yang mengutip kemenangan sulungnya di Sepang bersama McLaren pada 2003 dan kini mengumpul 16 kemenangan dalam kariernya, menamatkan perlumbaan 56 pusingan itu dengan masa satu jam 31 minit 18.555 saat, atau 19.570 saat di depan Kubica dan 38.450 saat di depan Kovalainen.

Pemandu Finland yang menyertai Ferrari dari McLaren pada awal 2007 itu berkata, dia gembira Ferrari bangkit daripada persembahan buruk di GP Australia minggu lalu yang menyaksikan dia sekadar menamatkan perlumbaan di tangga kelapan.

"Sepanjang minggu ini kami berada di landasan yang baik, bermula dari sesi latihan pada Jumaat, dibawa ke sesi kelayakan dan perlumbaan. Segala-galanya berjalan dengan sempurna di sini.

"Malang Felipe tidak dapat memberi kami keputusan penuh yang mampu digenggam. Namun, saya tidak mengambil risiko kerana saya dijadualkan membuat hentian pit sepusingan selepasnya.

"Apabila keluar semula ke litar, saya berada di depannya dan dengan laluan yang bebas di depan dan jentera yang berfungsi sempurna, saya mampu mengawal situasi tanpa terlalu mendesak tayar," katanya yang mengakui tidak pernah hilang kepercayaan terhadap kemampuan pasukan Ferrari biarpun bermula buruk di Melbourne.

Dalam perlumbaan edisi ke-10 di Sepang yang bermula di bawah cuaca panas dengan suhu kira-kira 30 darjah selsius dan suhu permukaan litar di antara 42-46 darjah selsius itu, Raikkonen yang bermula dari petak kedua memintas rakan sepasukannya Massa ketika pemandu Brazil itu membuat hentian pit pertama pada pusingan ke-18.

Dengan prestasi jentera yang cukup mantap, dia mula menjarakkan diri kira-kira 4 saat di depan Massa sebelum rakannya itu terbabas di Selekoh 8 dan tersadai di kawasan berkerikil.

Kubica yang mengutip podium kedua selepas kali pertama di GP Itali 2006 memberikan keceriaan buat penaja tempatan Petronas dengan bertindak cemerlang apabila memintas Trulli di petak ketiga pada selekoh pertama dan memberikan podium pertama buat syarikat petroleum nasional sejak 1999.

"Ferrari terlalu laju di depan tetapi saya juga mampu menjarakkan diri dengan pemandu lain. Selepas hentian pit kedua, saya tidak memecut terlalu laju untuk menjimatkan enjin. Dengan keadaan kurang sihat dan cukup panas di dalam kereta, segala-galanya berbaloi," kata pemandu Poland itu.

Tumpuan perlumbaan juga terarah kepada saingan sengit tiga penjuru di antara Mark Webber (Red Bull Racing), Hamilton dan Nick Heidfeld ketika merebut kedudukan kelima.

 

 

Cetak laman ini