Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Hanya Chong Wei Mara Ke Akhir

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 18 Mar 2008 04:28 PM

Sasaran menggapai gelaran di Eropah kian dihampiri pemain utama negara, Lee Chong Wei yang berjaya melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel, malam tadi.

Kemaraan itu mengubat kehampaan Chong Wei yang sebelumnya dipaksa kecundang pada peringkat separuh akhir Seluruh England, minggu sebelumnya.

Pemain nombor dua dunia itu jelas bukan tandingan lawan daripada Poland, Wacha Przemyslaw yang gagal menghadirkan saingan setelah membenarkan Chong Wei merakamkan kemenangan 21-14, 21-14 dalam tempoh hanya 30 minit.

Begitupun, cabaran beregu lelaki muda negara, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif, berakhir pada peringkat separuh akhir selepas kecundang di tangan juara dunia dari Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan.

Fairuzizuan-Zakry memulakan aksi dengan rentak penuh keyakinan untuk meraih kemenangan 21-17 pada set pertama tetapi lawan dari Indonesia itu bangkit memenangi set kedua dengan angka sama, 21-17 dalam tempoh 19 minit.

Beberapa kesilapan pada saat genting menyaksikan beregu negara tidak langsung mendahului pada set penentuan untuk kecundang 17-21 dalam aksi keseluruhan berlarutan 50 minit.

Satu lagi pasangan negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tewas 18-21, 19-21 kepada lawan dari Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Young Dae – episod sama di All England minggu lalu setelah tewas di peringkat separuh akhir kepada pasangan Korea.

 

 

Cetak laman ini