Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Liga Super : Kedah Berpesta Lagi, Perak Mangsa Terbaru

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 25 Mar 2008 02:15 PM

Kedudukan Kedah selaku pendahulu Liga Super kini semakin sah sukar dicabar aetelah pasukan bimbingan Azraai Khor Abdullah itu membelasah Perak 5-1 di hadapan 35,000 penonton pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darulaman malam tadi.

Kerapuhan benteng Perak kini semakin ketara dengan pasukan bimbingan Steve Darby kini sudah melepaskan 14 jaringan daripada hanya tiga perlawanan termasuk satu perlawanan Piala AFC.

Kedah hanya memerlukan 13 minit untuk menembusi benteng Perak apabila Khyril Muhymeen Zambri berjaya melepasi pertahanan pelawat di sebelah kiri sebelum melakukan hantaran silang yang ditampan masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Perak, S Subramaniam.

Belum sempat Perak mengatur gerakan, Khyril sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada benteng Perak apabila menyambut baik hantaran Marlon Alex James dari sebelah kiri kawasan Perak pada minit ke-20 sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Hamsani Ahmad dari jarak dekat.

Pemain sayap kebangsaan itu kemudian terus melebarkan jurang gol Kedah pada minit ke-27, apabila berjaya menanduk masuk hantaran silang bek kiri Kedah, Shafizan Hashim dari sebelah kanan kawasan Perak.

Marlon kemudian melengkapkan derita Perak dengan jaringan keempat pada minit ke-39, selepas bijak mencuri bola daripada kawalan pemain pertahanan import Perak, Mario Barios sebelum mudah menewaskan Hamsani.

Perak meningkatkan permainan pada babak kedua dengan menggagalkan beberapa gerakan merbahaya Kedah, dan mula melancarkan beberapa serangan balas ke kawasan tuan rumah.

Usaha Perak akhirnya berhasil apabila Razali Umar Kandasamy berjaya melepasi kawalan Bernard Hugging dalam kawasan penalti sebelum menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza pada minit ke- 77.

Namun kegembiraan Perak hanya seketika kerana Kedah terus menggandakan asakan selepas itu dan berjaya memperoleh gol kelima pada minit ke-78 menerusi rembatan kencang Fadly Bahrom dari jarak 25 yang mengesahkan kemenangan Hijau Kuning.

Kemenangan besar malam tadi membolehkan Kedah kini mengutip 44 mata hasil 18 perlawanan yang terus mencerahkan peluang mereka mengekalkan kejuaraan Liga Super, meninggalkan pencabar terdekat Selangor yang berada lima mata di belakang dengan 39 mata.

 

 

Cetak laman ini