Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Piala FA : Kedah Selesa, Perak, Selangor Sama Gah

 


Dikemaskini : 24 Mar 2008 11:43 AM

Aksi pusingan kedua Piala FA dibuka dengan nostalgia final 1990 dan 1991 yang membabitkan dua musuh tradisi, Perak dan Selangor dijelmakan semula dalam pertemuan dramatik yang berkesudahan seri 4-4 di Stadium Perak, malam tadi.

Selangor, juara 1991, bermula garang dengan gandingan penyerang, Safee Sali dan Elie Aiboy menghukum kegoyahan pertahanan Perak yang belum kebah dibelasah pasukan Tentera Singapura 1-6 pada saingan Piala AFC di stadium yang sama, apabila masing-masing menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-12 dan 32.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan anak buah Steve Darby, bangkit merapatkan jurang menerusi kapten pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-52.

Bekas penyerang Perak, Frank Seator menjadikan kedudukan 3-1 minit ke-57, sebelum Safee sekali lagi membolosi gawang kawalan Hamsani Ahmad pada minit ke-59.

Tatkala anak buah Dollah sudahpun terbayang satu lagi kemenangan besar ke atas Perak selepas melakukannya pada aksi liga super sebelum ini, hatrik pemain gentian Razali Omar Kandasamy dalam tempoh enam minit (m-60, 63, 66) membolehkan Perak, juara edisi pertama pada tahun 1990 menarik nafas lega dan mengelak daripada terus diaibkan di gelanggang sendiri.

Sementara itu, juara bertahan, Kedah dilihat membuka laluan selesa ke pusingan ketiga setelah membelasah Sarawak 3-0 di Stadium Darul Aman.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-43 menerusi Shafiq Jamal yang menguis masuk umpanan cantik Fauzi Shaari dari sebelah kiri pintu gol Sarawak, sebelum rembatan kencang Badrol Bakhtiar pada minit ke-45 muntah daripada tangkapan penjaga gol Sarawak, Firdaus Ishak, dan menyaksikan pemain pertahanan pelawat, Sylla Mansa tertolak bola ke dalam gol sendiri.

Marlon Alex James melengkapkan kemenangan sang Kenari menerusi jaringan pada minit ke-57.

Di Stadium Sultan Ismail, gol tunggal jaringan Norfarhan Mohamad pada minit ke-61 membantu Terengganu menewaskan Negeri Sembilan 1-0.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Polis bangkit dari ketinggalan sebelum mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sabah.

Proton pula membawa bekalan satu gol menerusi kemenangan 3-2 ke atas Melaka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Fairus Aziz membuka jaringan untuk Proton disusuli Ashadi Yusuf empat minit kemudian dengan Mohd Faizal Mansor menambah jaringan ketiga pada minit ke-49, sementara dua gol Melaka diledakkan Kofi Estiba pada masa kecederaan babak pertama dan menerusi sepakan penalti pada minit ke-69.

Di Stadium KLFA, Felda United menundukkan Kuala Lumpur 5-2 dalam pertemuan sesama pasukan dari Liga Perdana.

Fabio Alexander meledakkan hatrik (m-44,49,55) dengan dua lagi gol Felda United disumbangkan Badrol Afzan (m-28) dan Ahmad Nurfaizal (m-68).

Kuala Lumpur memperoleh jaringan menerusi Impraim Godfred (m-47) dan Mohd Zamri Hassan (m-77).

Di Stadium Darulmakmur, Pahang sekadar mampu seri 0-0 dengan pasukan ‘giant killer’, KL Plus.

Aksi di Stadium Sultan Mohd IV pula menyaksikan Mouhamadou Mustapha meneruskan prestasi cemerlangnya di depan gol untuk membantu Kelantan menang 2-0 ke atas PKNS dalam perlawanan tunggal Liga Perdana malam tadi.

Penyerang Senegal itu menjaringkan gol ketujuh dalam dua perlawanan setelah menanduk masuk pada minit kelapan dan melakukan sepakan lencong pada minit ke-56 untuk melonjakkan Kelantan ke tangga ketiga liga.

 

 

Cetak laman ini