Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Kedah Makin Sukar Digugat, Selangor, Perak Cemerlang

 


Dikemaskini : 18 Mar 2008 04:24 PM

Kedah kekal di tangga teratas Liga Super selepas menewaskan UPB-MyTeam 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi, untuk membolehkan Hijau Kuning gah dengan 41 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.

Kegagalan MyTeam menyempurnakan beberapa peluang keemasan membuka peluang buat pelawat untuk mula mengawal permainan dan berhasil memecah kebuntuan menerusi pemain muda Mohd Fadly Baharom pada minit ke-40.

Belum sempat pasukan bimbingan Bojan Hodak bangkit pada babak kedua, Kedah sekali lagi menembusi gawang untuk gol kedua menerusi penyerang import Marlon Alex James pada minit ke-46 yang juga mengesahkan tiga mata berharga buat Kedah.

Di Stadium Shah Alam, ketinggalan dua gol pada babak pertama tidak menghalang Selangor mencatat kemenangan 4-3 ke atas Pahang, seterusnya mengekori Kedah dalam carta liga.

Pahang memulakan perlawanan dengan mengasak benteng tuan rumah dan berjaya mengejutkan lawan pada minit ke-40 menerusi bekas penyerang kebangsaan Hairuddin Omar sebelum Rosdi Talib memberi keselesaan pada minit ke-44.

Sebaik bermula babak kedua, Selangor mempamerkan kebangkitan dan merapatkan jurang menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-50, dua gol Frank Seator (m-60 dan 80) sebelum Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-85) mengesahkan kemenangan Merah Kuning biarpun Hairuddin menambah gol ketiga pada masa kecederaan bagi anak buah Zainal Abidin Hassan.

Di Stadium Ipoh, hatrik Carlos Caceres membantu tuan rumah mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga dengan kemenangan 3-1 ke atas penghuni tangga tercorot, Pulau Pinang.

Pemain Chile itu meledakkan gol pada minit ketiga, 33 dan 45 untuk memastikan Pulau Pinang kekal terperosok di tangga terbawah pentas elit saingan domestik itu.

M Prakash mendapatkan gol sagu hati pelawat menerusi sepakan percuma pada minit ke-77.

Di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Terengganu mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas PDRM hasil jaringan Norfarhan Mohammad dan Ashaari Shamsuddin manakala di Stadium Hasanal Bolkiah, Perlis dan Brunei DPMM sekadar seri tanpa jaringan.

Di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi, tuan rumah Negeri Sembilan mencatat kemenangan selesa dengan membelasah pasukan Sarawak, 4-0.

K Thanaraj membuka tirai jaringan pada minit kesembilan sebelum Marian Juhas menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-38.

Babak kedua menyaksikan Mohd Zaquan Adha menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-56 sebelum S Kunalan melengkapkan malam gemilang barisan Wan Jamak Wan Hassan dengan jaringan pada masa kecederaan.

 

 

Cetak laman ini