Dikemaskini :
31 Mar 2008 10:46 PM
Majlis Sukan Negara
(MSN) kini jelas
dihimpit belenggu
‘hutang' yang harus
mendapat penjelasan
terperinci dan telus
mengenai projek
serta program
dibiayai hingga
mengakibatkan
kantung badan induk
itu kini hampir
kosong.
Tambahan pula, ada
perkhabaran tidak
sampai tiga tahun
sebelumnya,
kedudukan kewangan
MSN begitu ampuh
tetapi kini berdepan
situasi kritikal
Desakan supaya
penelitian rapi dan
penjelasan telus itu
diluahkan bekas
Ketua Pengarah MSN,
Datuk Wira Mazlan
Ahmad dan Setiausaha
Kehormat Majlis
Olimpik Malaysia
(MOM), Datuk Sieh
Kok Chi.
"Sejak saya bersara
pada Ogos 2005,
sudah dua ketua
pengarah MSN
dilantik. Ketika
memegang jawatan itu,
sebelum merangka
program, saya
sentiasa pastikan
ada peruntukan untuk
menjayakannya. Jika
tiada wang, tiada
program.
"Ketika itu juga,
saya tidak belanja
100 peratus
peruntukan. Saya
berjimat dengan
melaksanakan program
dirancang secara
total, tetapi pada
kos lebih rendah.
"Ia membolehkan
lebihan itu disimpan
MSN. Kerana itu, ada
persatuan marahkan
saya kerana mereka
berpendapat, jika
RM2 juta sudah
diluluskan, mengapa
tidak belanjakan
semua RM2 juta itu.
"Rasional saya mudah.
Jika mampu
dilaksanakan dengan
kos lebih rendah,
itulah yang perlu
dilakukan. Ia
membolehkan kewangan
MSN sentiasa stabil
dan dapat membina
tabungan.
"Mana tahu, jika
peruntukan kerajaan
dipotong kemudiannya,
MSN masih ada
tabungan demi
memastikan program
yang dirancang,
mampu diteruskan,"
katanya.
"Saya hairan
bagaimana MSN gagal
melunaskan tunggakan
bayaran. Persatuan
sukan adalah rakan
penting MSN dan
seharusnya tidak
dilayan sebegitu,"
katanya.
Kok Chi pula
mendesak MSN
bersikap lebih telus
demi memastikan
wibawa dan martabat
badan induk itu
terpelihara.
"Sebelum ini saya
ada dengar mengenai
kedudukan dana
kewangan MSN yang
cukup banyak tetapi
ketika ini semua
sumber itu sudah
kehabisan.
"Begitu juga dengan
perkhabaran
sebahagian sumber
kewangan MSN
digunakan untuk
membiayai beberapa
program yang tiada
kaitan dengan sukan
berprestasi tinggi.
"Justeru, MSN perlu
tampil memberikan
penjelasan, apatah
lagi beberapa
persatuan sukan
sendiri mengakui MSN
masih tertunggak
bayaran terhadap
mereka," kata Kok
Chi.
Kok Chi turut
mengesahkan MSN
belum melangsaikan
bayaran hampir RM1
juta bagi kos
pembiayaan atlit ke
Sukan Asia, Doha
2006.
"MOM dimaklumkan
bahawa MSN berdepan
masalah aliran tunai,
tetapi tidaklah
seperti masalah
besar (yang
didedahkan) ketika
ini. Jika perlu buat
audit, ia harus
dilakukan demi
memastikan MSN badan
yang lebih telus,"
katanya.
Sementara itu,
Menteri Belia dan
Sukan, Datuk Ismail
Sabri Yaakob,
memberi jaminan akan
mendapatkan gambaran
sebenar terhadap
masalah hutang
tertunggak itu.
"Saya akan berjumpa
Ketua Pengarah MSN,
Datuk Zolkples
Embong bagi mendapat
laporan terperinci
mengenai kemelut itu,"
katanya ketika
ditemui di Felda
Tembangau, Bera,
semalam. "Saya akan
meneliti isu yang
dibangkitkan dan
berharap ia dapat
diselesaikan demi
kepentingan sukan
negara. Biarpun
diselubungi kemelut
hutang, persiapan
atlit tidak terjejas,
malah berjalan
seperti biasa
mengikut jadual
latihan mereka,"
katanya.