Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Ian Rush : Kurang Tumpuan Dan Kurang Komunikasi Masalah Utama

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 27 Mar 2008 08:10 AM

Lagenda bolasepak Liverpool, Ian Rush dalam sesi klinik bola sepak kendaliannya di Bukit Jalil, petang tadi mengenalpasti tiga kelemahan ketara yang masih wujud pada penyerang tempatan iaitu kekurangan tumpuan, tahap kecergasan dan kurangnya komunikasi dengan rakan sepasukan selain kurang yakin terhadap diri sendiri seperti dinyatakannya semalam.

Selepas dua hari mengendalikan klinik bola sepak khas buat penyerang tempatan itu, Rush berpendapat penyerang tempatan harus memperbaiki tiga faktor itu apabila beraksi di peringkat tertinggi apatah lagi dengan permainan bola sepak kini yang menerapkan permainan pantas.

“Sebagai penyerang seorang pemain itu harus memiliki daya tumpuan yang baik bagi membantunya cepat mengesan peluang keemasan untuk menjaringkan gol, dan ini penting kerana dengan menyudahkan peluang tercipta ia mampu membantu pasukan dalam waktu tertekan.”

“Saya juga merasakan tahap kecergasan penyerang tempatan anda boleh ditingkatkan lagi, seorang penyerang wajib mempunyai tahap kecergasan tinggi dalam tempoh 90 minit perlawanan dan mereka juga harus lebih banyak berkomunikasi bersama rakan sepasukan lain dalam perlawanan,” kata Rush lagi.

Rush juga menasihatkan penyerang tempatan harus memiliki sikap tidak mengenal erti putus asa, kerana seorang penyerang harus kerap melakukan percubaan dalam usaha mencari jaringan.

Rush yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Prestasi Elit Persatuan Bola Sepak Wales, akan menghantar laporan penilaian penyerang tempatan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selepas sesi terakhir klinik kendaliannya, hari ini.

Setelah dua hari, nama penyerang negara, Safee Sali serta dua bekas penyerang kebangsaan - Akmal Rizal Rakhli dan Liew Kit Kong - meniti di bibir Rush yang menyuarakan betapa dia terpikat dengan kemampuan teknikal dipamerkan mereka.

Bekas penyerang Liverpool itu beranggapan ketiga-tiga pemain itu memiliki keistimewaan sendiri serta berada setahap tinggi berbanding penyerang lain dan berharap klinik itu dapat membantu meningkatkan lagi keupayaan mereka.

“Penjaring terbanyak liga anda (Safee) adalah seorang penyerang agresif, Akmal pula mempunyai tindakan penyudah yang baik sebagai seorang penyerang dan Liew mempunyai gerakan baik tanpa bola.

“Ketiga-tiga mereka ada keistimewaan masing-masing dan ini memisahkan mereka daripada penyerang lain,” kata Rush.

 

Cetak laman ini