|
Piala Thomas
: Malaysia
Jumpa Korea
Lagi |
Dikemaskini :
14 Mar 2008 10:18 AM
Entah mahu ataupun
tidak, Malaysia
harus menerima
hakikat betapa
laluan perit menanti
Malaysia dalam
saingan akhir Piala
Thomas apabila
diletakkan bersama
musuh tradisi Korea
Selatan dan pasukan
Eropah, England
dalam Kumpulan B
selepas undian
dilakukan di
Jakarta, semalam.
Ia pastinya
mengundang
kebimbangan kepada
skuad Piala Thomas
negara, yang perlu
muncul juara
kumpulan jika mahu
mencerahkan peluang
ke separuh akhir,
kerana jika gagal
mengungguli saingan
kumpulan, Malaysia
akan berdepan sama
ada tuan rumah
Indonesia atau
gergasi Eropah,
Denmark di suku
akhir, satu prospek
pertemuan yang mahu
dielakkan.
Bagi Piala Uber
pula, Malaysia juga
berdepan halangan
besar apabila diundi
bersama Denmark dan
New Zealand dalam
Kumpulan C.
"Ia memang undian
yang cukup sukar dan
bukan yang kita
harapkan," kata
Pengurus Besar
Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) Kenny
Goh, semalam. "Laluan
memang memeritkan
dan skuad lelaki
negara tidak
mempunyai pilihan
selain memastikan
menjuarai saingan
peringkat kumpulan.
"Ini bagi
mencerahkan peluang
mereka melayakkan
diri terus ke suku
akhir dan berpeluang
cerah untuk ke
separuh akhir. Jika
kalah, mereka perlu
melalui pusingan
kedua kalah mati dan
kemudian bertemu dua
pasukan pilihan sama
ada Denmark atau
Indonesia di suku
akhir.
"Oleh itu, pasukan
negara perlu
berusaha lebih keras
untuk memastikan
dapat mengatasi
saingan Korea
Selatan yang
membuktikan mereka
pasukan yang sukar
ditewaskan serta
England, yang
sentiasa boleh
melakukan kejutan,"
kata Kenny.
Malaysia tidak perlu
diingatkan mengenai
kekuatan Korea
Selatan apabila
hampir tewas kepada
pasukan itu dalam
final pusingan
kelayakan Piala
Thomas di sebalik
skuad itu merombak
barisannya tanpa
menurunkan pemain
terbaiknya.
Dalam undian Piala
Thomas, juara
bertahan China
diletakkan dalam
Kumpulan A bersama
Kanada, dan Nigeria;
Kumpulan C pula
diterajui Denmark,
Jepun serta New
Zealand dan Kumpulan
D pula menyaksikan
persaingan antara
tuan rumah
Indonesia, Thailand
dan Jerman.
Format Piala Thomas
menyaksikan juara
setiap empat
kumpulan layak terus
ke suku akhir dengan
pasukan yang muncul
naib juara dan
menduduki tempat
ketiga setiap
kumpulan bersaing di
pusingan kedua kalah
mati dengan pemenang
akan mara ke suku
akhir.
Jika Malaysia muncul
juara kumpulan,
mereka menanti
pemenang antara naib
juara Kumpulan C dan
pasukan tempat
ketiga Kumpulan D,
dan ia memudahkan
peluang Malaysia
untuk ke separuh
akhir, di mana
mereka sudah pasti
akan bertemu pilihan
pertama, China.
Di Jakarta dua tahun
lalu, Malaysia
muncul juara
kumpulan dan mara ke
suku akhir tetapi
tersangkut di
peringkat itu
selepas dikalahkan
tuan rumah Indonesia
3-1.
Bagi Piala Uber
pula, Malaysia yang
diletakkan selaku
pilihan keempat juga
berdepan laluan
perit dengan Denmark
bakal memberikan
tentangan hebat
selain New Zealand,
yang tidak boleh
diketepikan
keupayaan mereka.
"Seperti Piala
Thomas, skuad Piala
Uber juga berdepan
laluan sukar," kata
Kenny. "Denmark
memiliki pemain
handal dan New
Zealand pula boleh
memberikan saingan
hebat. Kita perlu
merancang dan
mempersiapkan
pasukan dengan
sebaik mungkin."