Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Olimpik Beijing 2008 : Kien Keat-Boon Heong Mungkin Digugur

 


Dikemaskini : 19 Mar 2008 01:16 PM

Kemerosotan prestasi yang kian ketara melanda beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tampak mungkin 'disempurnakan' dengan penyisihan mereka daripada temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos nanti.

Kemungkinan itu terjelma selepas jurulatih, Rexy Mainaky disahkan kecewa dengan persembahan gandingan itu, terutama selepas tersingkir awal dalam dua kejohanan terakhir disertai - Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Kebetulan, Kien Keat-Boon Heong sebelumnya ke Eropah dengan status selaku juara bertahan untuk kedua-dua kejohanan itu.

Tetapi di Birmingham, Kien Keat-Boon Heong tumbang seawal pusingan pertama di tangan beregu Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto sebelum ditumpaskan beregu nombor tiga negara, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif pada pusingan kedua Terbuka Switzerland di Basel.

Kini, Rexy cenderung menggugurkan Kien Keat-Boon Heong daripada kontinjen ke Sukan Olimpik andainya dua lagi gandingan negara - Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Fairuzizuan-Zakry - berjaya menempatkan diri dalam ranking 16 terbaik sebaik tempoh kelayakan ke temasya itu berakhir, Mei nanti.

Difahamkan, tindakan drastik itu berpunca daripada rasa kurang senang Rexy dengan telatah Kien Keat yang disifatkan tidak fokus ketika latihan dan pertandingan.

Diajukan kemungkinan itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ganga Rao, tidak menolak kemungkinan badan induk itu menyokong saranan Rexy nanti.

"BAM akan sedia mendengar apa sahaja cadangan yang bakal dikemukakan Rexy demi kebaikan cabaran negara. Ketika ini, apa yang boleh saya katakan ialah BAM tidak akan menolak kemungkinan tindakan sebegitu akan dilakukan.

"Kami memang bimbang dengan kemerosotan prestasi mereka sejak kebelakangan ini. Jika langkah menggugurkan mereka dianggap sebagai yang terbaik demi cabaran kontinjen negara, BAM tidak akan teragak-agak untuk melakukannya," kata Ganga.

Ganga turut melahirkan rasa gembira dengan prestasi dipamerkan Tan Fook-Wan Wah serta Fairuzizuan-Zakry pada dua kejohanan di Eropah kali ini.

"Tan Fook dan Wan Wah, terutamanya, menunjukkan kesungguhan dan keazaman untuk terus bersaing pada peringkat tinggi. Kemampuan layak ke separuh akhir kedua-dua kejohanan sesuatu yang menggembirakan.

"Saya juga gembira dengan persembahan Fairuizuan dan Zakry pada Terbuka Switzerland. Biarpun kalah pada separuh akhir, mereka mempamer peningkatan dan hampir menundukkan juara dunia dari Indonesia (Markis Kido-Hendra Setiawan)," katanya.

 

Cetak laman ini