Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

UKM Rai Atlit Cemerlang

 

Nurul Izzati


Dikemaskini : 27 Mar 2008 10:01 PM

Kuala Lumpur, 27 Mac 2008 – Seramai 105 atlit yang bergiat aktif dalam arena sukan buat Universiti Kebangsaan Malaysia sepanjang tahun di peringkat universiti mahupun negara telah mendapat penghargaan istimewa pada Majlis Anugerah Sukan Ke-18 bertempat di Dewan Perdana Felda semalam.

Sebanyak 19 kategori disediakan bagi semua penerima anugerah samada mahasiswa atau kakitangan yang telah lama berkecimpung dalam memajukan arena sukan universiti serta negara. 

Antara kategori yang dicalonkan adalah anugerah olahragawan dan olahragawati pelajar, anugerah olahragawan dan olahragawati kakitangan, anugerah sahabat sukan kakitangan veteran, anugerah bintang harapan pelajar lelaki dan Wanita, anugerah bintang harapan lelaki dan Wanita (pelajar dan kakitangan), anugerah tokoh sukan, anugerah khas,anugerah sekalung budi, anugerah atlit cemerlang, anugerah pasukan terbaik, anugerah kelab sukan terbaik, anugerah pengurus terbaik,anugerah jurulatih terbaik, anugerah penyelaras terbaik dan anugerah warna emas dan perak pelajar. 

Para atlet yang dicalonkan adalah yang terbaik dalam mempunyai rekod pencapaian dan reputasi yang cemerlang dalam melahirkan graduan yang berkebolehan selain membentuk modal insan berkualiti. 

Majlis pengiktirafan ini telah selamat dirasmikan oleh Ybhg Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin selaku Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut beliau calon-calon yang menerima anugerah kali ini merupakan calon-calon yang telah banyak berjasa tanpa mengira masa demi untuk mewujudkan masyarakat yang sihat serta memperkukuhkan integrasi perkauman. 

UKM telah menobatkan Baljit Singh sebagai penerima anugerah atlet cemerlang dan menerima hadiah berupa trofi, sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak RM 1,000. 

Turut menerima penghargaan adalah Raja Ibrahim Raja Uzir (Tennis) dan Prof Dr Abdul Aziz Abdul Hamid (Golf) untuk kategori sahabat sukan kakitangan Veteran, manakala bagi anugerah Tokoh Sukan 2008 dianugerahkan kepada Ybhg Prof DR Zaidi Mat Isa selaku mantan ketua kontigen UKM. 

UKM juga turut mengiktiraf Kelab Sukan Bola Tampar sebagai kelab sukan terbaik manakala pasukan terbaik telah menjadi milik pasukan bola tampar lelaki. 

Setiap penerima anugerah menerima hadiah berupa trofi, sijil penghargaan serta wang tunai yang ditetapkan. 

Turut hadir ke majlis tersebut Sarjan Sazali Samad iaitu atlet Bina Badan Negara serta Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan tidak ketinggalan juga Ketua Pusat Sukan UKM, Puan Jaslana Hj Hussen.  

 

Cetak laman ini