Dikemaskini :
18 Mar 2008 04:38 PM
Ratu lompat bergalah
negara, Roslinda
Samsu yang kecewa
ekoran kegagalan
beraksi di Kejohanan
Dalam Dewan Dunia di
Valencia, Sepanyol
minggu lalu menebus
kehampaannya dengan
dengan meraih emas
pada Kejohanan
Lompat Bergalah
Antarabangsa Taiwan,
semalam.
Seakan membalas
dendam gara-gara
langsung tidak dapat
menyertai kejohanan
di Valencia kerana
galahnya tidak
sampai ke destinasi
ditujui sehingga
mengundang tanggapan
buruk Kesatuan
Olahraga Amatur
Malaysia (KOAM),
atlit kelahiran
Kuala Nerang, Kedah
itu melakukan
catatan 4.23 meter
bagi mengesahkan
emas milik negara.
Bagaimanapun catatan
itu masih belum
mencukupi buatnya
menempatkan diri
selaku atlit
memiliki tiket
Kategori A ke Sukan
Olimpik, Beijing,
Ogos ini sesuatu
yang cuba dilakukan
Roslinda sejak
penghujung tahun
lalu walaupun sudah
layak atas Kategori
B sebelum ini.
Untuk layak ke
Beijing menerusi
Kategori A, catatan
minimum ialah 4.45
meter, walaupun
begitu Roslinda
sudah melakukan
4.30m pada Kejohanan
Olahraga Jemputan
Kazakhstan Jun tahun
lalu lantas menyamai
syarat kelayakan
Kategori B Olimpik
ditetapkan
Persekutuan Olahraga
Antarabangsa (IAAF).
"Alhamdulillah saya
gembira memenangi
emas ini," kata
Roslinda menerusi
Sistem Pesanan
Ringkas (SMS) dari
Taiwan, semalam.
"Tambahan pula ia
adalah rekod baru
kejohanan dan rekod
peribadi terbaik
saya di kejohanan
dalam dewan."
Catatan 4.23m itu
juga adalah yang
terbaik buat atlit
berusia 25 tahun itu
kerana sejak Jun
tahun lalu Roslinda
hanya melakukan
lompatan sekitar
4.10 dan 4.20m.
Dari segi pencapaian,
musim 2007 adalah
antara yang terbaik
buat Roslinda
apabila berjaya
memungut emas pada
Kejohanan Trek dan
Balapan Asia (ATF).
Dia juga meraih
tempat kelima acara
kegemarannya itu
pada Kejohanan
Universiti Dunia di
Bangkok dengan
catatan 4.20m.
Selepas itu dia
menyertai Kejohanan
Olahraga Dunia di
Stadium Nagai, Osaka
pada Ogos dan
ditamatkan dengan
memenangi emas di
Sukan Sea Korat.
Tahun ini, Roslinda
memulakan musim
penuh mencabar
apabila menang perak
pada Kejohanan
Olahraga Dalam Dewan
Asia ke-3 di Doha
Februari lalu dengan
catatan 4.10m
sebelum usahanya
mencari tempat
terbaik di Valencia
tidak kesampaian.