|
Liga
Hoki Remaja
: SSBJ Juara
Berganda
Kali Keempat
Berturut-Turut |
Aiman Aminul
Dikemaskini :
31 Mar 2008 10:49 PM
Sekolah Sukan Bukit
Jalil (SSBJ)
membuktikan betapa
mereka perlu
digeruni di arena
hoki tanah air
selepas membenam
cabaran Tenaga
Nasional Berhad (TNB),
4-1 untuk muncul
juara Piala Milo –
Liga Hoki Remaja
Malaysia 2008,
petang tadi.
Kemenangan berganda
– selepas menjuarai
Divisyen 1 – bagi
pasukan SSBJ ini
turut menyaksikan
mereka mengekalkan
gelaran berganda
bagi tahun keempat
sejak kali pertama
melakukannya pada
2004.
Pada saingan yang
berlangsung dalam
keadaan padang basah
akibat hujan sebelum
perlawanan di
Stadium Hoki Kuala
Lumpur ini,
pertembungan antara
SSBJ dan TNB yang
muncul juara dan
naib juara juara
divisyen 1 jelas
menggamit sorakan
padu penyokong setia
masing-masing yang
berada di stadium
sejak pukul 3 petang
lagi.
Kealpaan barisan
pertahanan jelas
membawa padah bagi
pasukan TNB, sesudah
membenarkan SSBJ
mendahului dengan
kelebihan dua gol
dalam tempoh 10
minit pertama.
Gol pertama SSBJ
hadir pada ketika
perlawanan baru
berusia 55 saat
menerusi gerakan
cantik Ahmad Termizi
Ismail, sebelum
Termizi sekali lagi
menambah jaringan
peribadinya pada
minit ke-10 untuk
SSBJ mendahului 2-0.
TNB bagaimanapun
berjaya merapatkan
jurang jaringan pada
minit ke-20 menerusi
Khairul Aiman Mohd
Nor yang mengambil
kesempatan hasil
kekalutan di depan
gol, namun SSBJ
terus selesa
mendahului menerusi
jaringan Fahizam
Zali yang
menyempurnakan
pukulan sudut
penalti pada minit
ke-31.
Termizi terus
menjadi duri dalam
daging buat pasukan
TNB setelah
menjaringkan hatrik
pada minit ke-39,
dan walaupun TNB
berjaya bangkit
menerusi dua gol
lewat Faizal Yaacob,
segalanya sudah agak
terlewat bagi
pasukan TNB.
Kemenangan ini
menyaksikan SSBJ
membawa pulang RM
30, 000 beserta
trofi Milo dan
Pingat, manakala TNB
pula membawa pulang
hadiah wang tunai RM
15, 000.
Sekolah Sukan Bandar
Penawar yang
menduduki tempat
ketiga membawa
pulang RM 10, 500.
Hadiah telah
disampaikan Pengarah
Majlis Sukan Negara
(MSN), Datuk
Zolkples Embong.
Sementara itu,
gelaran Pemain
Terbaik Kejohanan
menjadi milik
Shahrul Anuar dari
MSS Kelantan,
sementara Ahmad
Termizi Ismail (SSBJ)
muncul Pemain
Terbaik Perlawanan
Akhir, Saifuddin
Daud (SSBJ) pula
dinobatkan selaku
Penjaga Gol Terbaik
Kejohanan, manakala
Faizal Yaacob (TNB)
menerima anugerah
Penjaring Terbanyak
Divisyen 1 dengan 9
gol, dan Mohd
Mahadzir Ghafar (MSJ
- MPBP) pula
menerima anugerah
penjaring terbanyak
Divisyen 2 dengan 19
gol.
Dalam perlawanan
terdahulu, SSBP
muncul pemenang
tempat ketiga
setelah menewaskan
MSJ – MPBP menerusi
pukulan penalti 4-2
setelah kedudukan
masa sebenar terikat
1-1.