Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Abdul Aziz Kena Saman RM20 Juta

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 31 Mar 2008 09:22 AM

Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar menerusi firma guamannya Rafie Mohd Shafie & Associates memfailkan saman fitnah RM20 juta ke atas bekas Naib Presiden Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (MPGA), Abdul Aziz Ismail yang mendakwanya menerima rasuah dan seterusnya mempengaruhinya untuk bertindak berat sebelah.

Elyas menyifatkan tuntutan itu sebagai 'mengaibkan dan sengaja hendak menjatuhkan maruah dan kredibilitinya sebagai Pesuruhjaya Sukan.'

Elyas berkata peguamnya sudah memberikan notis melalui surat bertarikh 12 Mac 2008 kepada Abdul Aziz untuk memberinya peluang memohon maaf secara terbuka dan menarik balik segala tohmahan dalam tempoh 14 hari yang berakhir Selasa lalu, tetapi sehingga kini Abdul Aziz enggan berbuat demikian.

"Saya terpaksa membawa kes ini ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan serta ganti rugi RM20 juta untuk membersihkan nama baik saya.

"Ini bukan dilakukan bagi melindungi saya semata-mata tetapi untuk melindungi pengganti saya. Jelas terdapat pegawai sukan yang tak tahu menghormati undang-undang.

"Bukan saya meminta mereka menghormati saya tetapi menghormati Pesuruhjaya Sukan," kata Elyas yang akan melepaskan jawatannya pada 14 April ini.

Abdul Aziz dalam aduan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Ahmad Said Hamdan di pejabatnya di Putrajaya pada 25 Februari lalu, menggesa badan itu membuka fail siasatan terhadap Elyas yang didakwanya menerima suapan daripada Presiden MPGA, Datuk Ithnin Yacob agar keputusan yang diambil berpihak kepada Ithnin.

Abdul Aziz juga mendakwa Elyas mengambil beberapa keputusan berat sebelah dalam menangani kemelut MPGA, antaranya tidak mengesahkannya sebagai naib presiden dan kekal mengiktiraf Ithnin dan Selvakumar walaupun ahli MPGA mengemukakan resolusi undi tidak percaya kedua-dua pegawai berkenaan pada 24 Disember lalu.

Ketika diajukan pertanyaan sama ada Elyas akan mempertimbangkan pengakuan maaf daripada Abdul Aziz selepas tuntutan saman ini difailkan, Elyas berkata ia terpulang kepada peguamnya.

"Terpulang kepada peguam saya untuk menerima atau tidak. Mereka akan menasihati saya." katanya.

Mengenai kemelut MPGA, Elyas menganggapnya selesai selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan oleh persatuan itu dilangsungkan Isnin lalu.

Pada AGM di Kelab Darul Ehsan, Ithnin mengekalkan jawatannya sebagai presiden diikuti Selvakumar sebagai setiausaha. N Valliappan menang tanpa bertanding sebagai naib presiden dengan jawatan bendahari disandang P Arumugam.

 

 

Cetak laman ini