|
Beri Tiket
Percuma, KFA
Tanggung
Kerugian
Stadium
Rosak |
Dikemaskini :
27 Mar 2008 08:19 AM
Perbadanan Stadium
Darul Aman terpaksa
mengeluarkan kos
penyelengaraan
sehingga ribuan
ringgit akibat
kerosakan di sekitar
bangunan stadium
berkenaan, gara-gara
pemberian tiket
percuma kepada
penyokong tempatan
pada perlawanan bola
sepak Liga Super
antara Kedah
menentang Perak
malam kelmarin.
Kerosakan di stadium
itu dipercayai
berpunca tindakan
agresif orang ramai
ketika berebut-rebut
memasuki stadium
berkenaan selepas
tiket percuma itu
habis diedarkan
kira-kira pukul 6.30
petang kelmarin.
Menurut sumber
perbadanan itu,
kerosakan melibatkan
sekurang-kurangnya
empat pintu masuk
stadium selain
penghadang besi yang
digunakan untuk
memisahkan penonton
dengan kaunter tiket.
Lebih menyedihkan,
sikap segelintir
penonton yang
melakukan vandalisme
apabila menconteng
dinding di laluan
masuk astaka utama
dengan tulisan 'tiket
free'
menggunakan cat
semburan berwarna
hitam.
"Kejadian petang itu
jarang berlaku di
stadium ini pada
perlawanan-perlawanan
sebelum ini, tetapi
apabila diberi tiket
percuma begini pula
jadinya. Sepatutnya
mereka lebih
berdisiplin.”
demikian menurut
salah seorang
pegawai media yang
ditemui selepas
perlawanan.
Kehadiran kira-kira
300 anggota
keselamatan berjaya
meredakan keadaan
tetapi memandangkan
terlalu ramai
penyokong yang
berebut untuk
memasuki stadium,
kerosakan tidak
dapat dielakkan.
Pada petang kelmarin,
kira-kira 50,000
orang membanjiri
Stadium Darul Aman
bagi mendapatkan
tiket percuma yang
diberikan oleh
kerajaan negeri
sebagai tanda terima
kasih kepada atas
sokongan mereka pada
pilihan raya umum
lalu.
Selain lebih 35,000
penonton memenuhi
setiap ruang tempat
duduk di dalam
stadium berkenaan
ketika perlawanan
diadakan, ribuan
lagi penyokong
terpaksa berputih
mata kerana tiket
sudah habis.
Walaupun pemberian
tiket percuma itu
merupakan
penghargaan daripada
kerajaan negeri,
tetapi cara
agihannya tidak kena.
Penonton berebut
sehingga mengabaikan
aspek keselamatan
dan meneyebabkan ada
yang tersepit
sehingga pengsan.
Andai kerajaan
negeri berbuat 'amal'
lagi pada perlawanan
akan datang, pihak
stadium perlu lebih
bersedia bagi
menghadapi segala
kemungkinan yang
akan timbul selain
meminta bantuan
pihak polis untuk
mengawal keadaan.
Mungkin ini boleh
dijadikan pengajaran
berguna, bukan
sahaja kepada Kedah
tetapi juga
negeri-negeri lain.
Perlawanan kelmarin
menyaksikan Kedah
membelasah Perak 5-1
sekali gus
mengukuhkan
cengkaman pasukan
itu di persada Liga
Super dengan
kelebihan lima mata
mengatasi pencabar
terdekat, Selangor
yang kini mengumpul
39 mata.