Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Terbuka Swiss : Sairul Cipta Kejutan, Chong Wei Tiada Masalah Ketepi Sung Hwan

 


Dikemaskini : 14 Mar 2008 09:58 AM

Sairul Amar Ayob melakar kejutan terbesar pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Switzerland setelah menumbangkan pemain Indonesia, Sony Dwi Kunchoro pada aksi pusingan pertama, semalam.

Sairul, pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) yang turun selaku pemain bukan pilihan menghadirkan berita gembira apabila hanya mengambil masa 27 minit untuk menumbangkan Sony, naib juara dunia tahun lalu yang juga pilihan keenam kejohanan, 21-13, 21-11.

Kejayaannya menewaskan Sony menamatkan kemarau kejayaannya menandingi pemain pilihan selepas beberapa tahun dan andai dia berhasrat melangkah ke suku akhir, dia terpaksa terlebih dulu mengatasi Wong Choong Hann yang menanti di pusingan kedua.

Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei pula tidak menghadapi masalah menundukkan Park Hsun Hwan dari Korea Selatan 22-20, 21-16 manakala Choon Hann sebelum itu, terpaksa mengerah keringat untuk menumbangkan rakan senegara, Lee Tsuen Seng dalam tiga set, 18-21, 21-16, 21-19.

Perseorangan wanita negara turut menang bergaya dipimpin Wong Mew Choo yang mudah menundukkan pemain Russia, Diehl Ella, 21-13, 21-15, manakala Julia Wong menundukkan pemain Belanda, Judith Meulendijks 21-14, 18-21, 21-16.

Hajat Muhd Roslin Hashim untuk melangkah lebih jauh, tidak kesampaian apabila mudah menyerah kepada pilihan ketiga dari China, Bao Chunlai 21-13, 21-14, kekalahan kali kedua buat dirinya di pusingan pertama selepas tersingkir awal di Seluruh England minggu lalu.

Pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula menundukkan gandingan rakan senegara, Gan Teik Chai-Lin Fui Woon 19-21, 21-16, 21-14.

Gandingan beregu campuran negara, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei, turut terkandas dalam saingan pusingan pertama selepas tumpas 21-15, 21-15 kepada pasangan Denmark, Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl.

Sementara itu, ruang untuk perseorangan ketiga negara, Muhd Hafiz Hashim yang berada di ranking ke-22 dunia, untuk memburu ke kedudukan 16 terbaik bagi layak ke Olimpik dilihat sudagh tertutup setelah menarik diri daripada kejohanan ini kerana kecederaan kaki yang dialaminya ketika di Seluruh England, belum lagi sembuh.

 

 

Cetak laman ini