Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Yufang Perlu Buktikan

 


Dikemaskini : 18 Mar 2008 04:41 PM

Atlit jalan kaki negara, Yuan Yufang perlu membuktikan bahawa dia sememangnya layak beraksi di Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini bukan sekadar mencipta omong kosong sedangkan dia sebenarnya tidak layak beraksi di temasya terbesar di dunia itu gara-gara menyertai kejohanan yang tidak diiktiraf.

Yufang yang mendakwa berjaya mengatasi syarat kelayakan ke Olimpik dalam satu kejohanan jalan kaki di Kunming, China pada 26 Oktober lalu ketika menyertai latihan dan kejohanan di sana perlu melakukannya sekali lagi apabila Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menegaskan bahawa kejohanan itu tidak diiktiraf oleh badan induk olahraga di China.

Dan hari ini, atlit kelahiran China itu perlu memadam semua kedukaan itu apabila dijadualkan bertanding pada Kejohanan Jalan Kaki Asia (20 kilometer) di Nomi City, Jepun.

Turut menyertai kejohanan itu ialah dua jaguh jalan kaki lelaki negara, pemenang pingat emas Sukan Sea Korat - Teoh Boon Lim serta Loh Choon Seang yang berazam menempatkan nama di Olimpik dengan memburu catatan Kategori B, 1 jam 24 minit 30 saat.

“Kami diberitahu pihak di sana bahawa kejohanan di Kumming itu tidak diiktiraf Persekutuan Olahraga China mahupun Persatuan Olahraga Wilayah Yunan,” kata Pengurus Besar KOAM, Aminuddin Mohd Nasir, semalam.

Justeru memandangkan KOAM tidak dapat mengesahkan catatan 1:37:21s yang dilakukan Yufang pada kejohanan di Kunming itu yang mengatasi syarat kelayakan 1:38:00, pihaknya masih belum dapat memberikan lampu hijau buat Yufang beraksi di Olimpik Beijing.

“Dia (Yufang) masih boleh melakukannya lagi esok (hari ini) dan saya yakin dia mampu melakukannya dalam perlumbaan itu nanti,” kata Aminuddin.

Sebelum ini, Yufang dikatakan layak beraksi di Beijing apabila melepasi had kelayakan Kategori B acara jalan kaki 20km ditetapkan Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF), memberikan pejalan kaki berusia 32 tahun kelahiran China itu penampilan kali ketiga berturut-turut di temasya terbesar dunia itu.

Sebelum ini, kedudukannya menjadi tanda tanya berikutan belum ada pengesahan dari China mengenai kejayaannya sehingga Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan sementara nama Yufang daripada senarai atlit yang sudah melepasi kelayakan sehingga mendapat pengesahan mutlak.

 

 

Cetak laman ini