|
Klinik Bola
Ian Rush :
Tiada Pemain
Perak, Kedah |
Dikemaskini :
24 Mar 2008 11:38 AM
Klinik bola sepak
yang bakal
dikendalikan bekas
penyerang Liverpool,
Ian Rush dari 24
sehingga 26 Mac ini
kelihatan seperti
satu usaha sia-sia
apabila pemain dari
Kedah dan Perak
difahamkan tidak
akan menyertai
klinik itu yang
dikhaskan untuk
penyerang tempatan.
Pemain Perak, Khalid
Jamlus dan Razali
Umar Kandasamy serta
pemain Kedah, Khyril
Muhymeen Zambri,
Hasmawi Hassan dan
Samransak Kram pada
mulanya berada dalam
senarai 27 pemain
terpilih untuk
klinik itu, tetapi
persatuan bola sepak
negeri pemain
berkenaan memohon
untuk mereka
dikecualikan.
Alasan dikemukakan
kedua-dua pasukan
itu adalah kerana
jadual padat mereka,
selain daripada
pembabitan pasukan
dalam saingan Piala
AFC, tambahan
kedua-dua pasukan
itu juga akan
bertembung dalam
dalam perlawanan
Liga Super pada 24
Mac ini.
Ketiadaan pemain
dari Kedah dan Perak
pada klinik bola
sepak itu disahkan
sendiri jurulatih
kebangsaan, B
Sathianathan yang
kecewa dengan
ketiadaan mereka
tetapi tiada apa
yang mampu
dilakukannya.
“Saya kecewa pemain
dari Kedah dan Perak
tidak dapat
menyertai klinik ini,
tetapi tidak ada apa
yang boleh saya
lakukan mengenainya
kerana pasukan
mereka mempunyai
keutamaan lain dan
saya sudah memanggil
beberapa pemain lain
seperti pemain KL
Plus, Lot Abu Hassan
dan juga Azril Abdul
Hamid (Felda United)
untuk mengisi
ketiadaan pemain
Kedah dan Perak, ”
kata Sathianathan.
Jadual asal
perlawanan Liga
Super itu ialah pada
7 Mac lalu, namun
kerana Perak
terbabit dengan
perlawanan Piala AFC
di Maldives, ia
ditunda ke 23 Mac
sebelum Kedah
memohon ia diadakan
pada 24 Mac kerana
mereka juga terbabit
dalam Piala AFC,
tetapi kedua-dua
pasukan sedia maklum
mengenai klinik
kendalian Ian Rush
sejak ia diumumkan
Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) pada
4 Februari lalu.
Ketiadaan wakil dari
Kedah dan Perak pada
klinik itu ialah
satu tamparan kepada
usaha FAM berasaskan
reputasi kedua-dua
pasukan yang
dianggap terbaik dan
barisan bermutu
dalam Liga Malaysia
ketika ini.
Bukan mudah untuk
memperoleh peluang
menimba ilmu
daripada seorang
bekas penyerang yang
pernah diiktiraf
sebagai antara yang
terbaik di Eropah
pada era 80-an dulu,
dan pemain muda
seperti Khyril dan
Razali seharusnya
memperoleh peluang
meningkatkan lagi
permainan mereka
dengan menimba ilmu
daripada Rush.