|
FAM Belum
Capai Kata
Putus
Tentang
Penganjuran
CYC |
Dikemaskini :
18 May 2008 11:19 AM
Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) belum
memutuskan sama ada
mahu mengiktiraf
atau tidak kejohanan
bola sepak Piala
Juara-juara Belia (CYC)
yang akan diadakan
di negara ini dari 2
hingga 16 Ogos depan.
Timbalan Presiden
FAM Khairy
Jamaluddin berkata
mesyuarat Exco FAM
yang dipengerusikan
Presiden, Sultan
Ahmad Shah petang
Sabtu memutuskan
untuk tidak membuat
sebarang keputusan
mengenai perkara itu.
"Ahli Majlis
dimaklumkan bahawa
pihak penganjur CYC,
Gifted Group Limited
(GGL) telah
menghadap Tuanku
Presiden beberapa
hari lepas bagi
menerangkan
kedudukan FAM dalam
penganjuran
kejohanan bola sepak
bawah 19 tahun itu,"
katanya kepada
pemberita selepas
menyuarat itu di
sini.
Khairy berkata
Gifted Group akan
menulis surat kepada
Sultan Ahmad Shah
bagi berkompromi
tentang perkara ini.
"Bagi bersikap adil,
sehingga surat itu
tidak disampaikan
oleh GGL kepada
Tuanku Presiden,
kita tidak akan
membuat sebarang
keputusan sama ada
memberi pengiktiran
atau sebaliknya,"
katanya.
Khairy berkata untuk
membolehkan FAM
memberi
pengiktirafan atau
kebenaran bagi
penganjuran CYC,
badan induk bola
sepak negara itu
perlu berpuas hati
dengan peranan yang
akan dimainkan
olehnya.
"Kami telah
berbincang dengan
Kementerian Belia
dan Sukan (KBS)
bahawa pada masa
depan sebarang
kejohanan yang
melibatkan bola
sepak perlu
melibatkan FAM
walaupun ia tidak
membiayainya,"
katanya.
Kontroversi
penganjuran edisi
kedua CYC tahun ini
tercetus apabila GGL
bertindak memberi
hak untuk
mengelolakannya
kepada Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC)
sekaligus
membelakangkan FAM.
Khairy dan
Setiausaha Agung FAM
Datuk Azzuddin Ahmad
turut mengesahkan
AFC belum
menghubungi FAM
berhubung perkara
itu.
Edisi pertama pada
tahun lepas juga
mencetuskan
kontroversi apabila
Persekutuan
Bolasepak
Antarabangsa (Fifa)
mempertikaikan
penganjuran CYC
ekoran pembabitan
G-14 iaitu satu
pertubuhan
kelab-kelab bola
sepak yang tidak
diiktirafnya.
Mengenai isu rasuah
yang dikatakan
menular dalam liga
bola sepak tempatan,
Khairy berkata FAM
menyerahkan perkara
itu kepada pihak
berkenaan seperti
Badan Pencegah
Rasuah (BPR) untuk
menyiasatnya.
Khairy turut
mengumumkan pasukan
"Harimau Muda" yang
bersaing dalam Liga
Perdana akan
dikekalkan untuk
tempoh setahun lagi
kerana mesyuarat
Exco berpendapat
mereka telah
menunjukkan
peningkatan terutama
dari segi kemahiran.
"FAM turut akan
mencadangkan pada
Sukan Malaysia 2010,
had umur untuk acara
bola sepak ialah 21
tahun ke bawah bukan
seperti sekarang (bawah
23 tahun) bagi
memastikan
kepentingan dari
aspek pembangunan,"
katanya.
Sementara itu,
Azzuddin berkata
mesyuarat Exco turut
memutuskan bagi
musim depan
(2008/2009), setiap
pegawai dan pemain
yang terlibat dalam
liga bola sepak
tempatan perlu
mengisytiharkan
harta mereka.
"Ini termasuklah
jurulatih tempatan
atau asing, pemain
tempatan dan isteri
serta pemain import,
syarat itu akan
dimasukkan di dalam
kontrak mereka,"
katanya.
Dipetik Dari Bernama