Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Berakhir Sudah Perjuangan Malaysia

 


Dikemaskini : 17 May 2008 02:04 PM
 

 

Malaysia gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Thomas setelah tewas 2-3 kepada penyandang juara China dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Tertutup Istora Senayan di sini Jumaat.

Malaysia, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, kini perlu menunggu dua tahun lagi untuk mengakhiri kemarau 16 tahun bagi memenangi piala, yang kali terakhir dibawa pulang ke Kuala Lumpur pada 1992.

Pujian wajar diberikan kepada tiga wira, Lee Chong Wei dan pasangan Mohd Zakry Abdul Latiff dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari, yang berjaya mengutip dua mata bagi pasukan negara.

Terikat dengan kedudukan 2-2, Muhammad Hafiz Hashim gagal mencuri mata kemenangan selepas tunduk kepada Chen Jin, 12-21, 16-21.

Dalam perlawanan akhir pada Ahad, China akan bertemu dengan pemenang perlawanan separuh akhir satu yang menyaksikan pertemuan antara Indonesia dan Korea Selatan.

Malaysia mendahului pertemuan dengan memenangi perlawanan perseorangan pertama menerusi pemain nombor dua dunia Lee Chong Wei, yang mengejutkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dengan 21-12, 21-14 dalam masa 36 minit.

Beregu yang akan bermain dalam Sukan Olimpik, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, bagaimanapun, gagal memberikan mata kedua apabila tewas 16-21, 17-21 kepada beregu nombor dua, Cai Yun/Fu Haifeng dalam masa 39 minit.

Pemain perseorangan kedua Malaysia, Wong Choong Hann pula terpaksa menyerah kalah kepada Bao Chunlai 18-21, 7-21 dalam masa 38 minit.

Pasangan yang pertama kali beraksi dalam perlawanan separuh akhir Piala Thomas, Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan menyemarakkan kembali harapan Malaysia apabila mereka berjaya menewaskan pasangan yang lebih tinggi rankingnya, pasangan nombor sembilan dunia Xie Zhongbo/Guo Zhengdong, 21-17, 21-15 dalam masa 45 minit.

Disokong oleh kira-kira 250 rakyat Malaysia yang berada di stadium, Hafiz, juara All England 2003, bagaimanapun gagal dalam perlawanan penentuan apabila tewas 12-21, 16-21 dalam masa 42 minit kepada Chen Jin.

Ketua Jurulatih Malaysia Yap Kim Hock berkata para pemainnya bermain dengan baik dan memaksa China bekerja keras untuk memperoleh kemenangan.
 

Dipetik Dari Bernama

 

 

Cetak laman ini