Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Pemain Perlu Beri 100 Peratus, Kata B. Sathianathan

 


Dikemaskini : 18 May 2008 10:38 PM

 

Jurulatih kebangsaan B. Sathianathan berharap para pemainnya dapat melakukan sesuatu dengan memberikan persembahan 100 peratus ketika menentang Nigeria pada perlawanan terakhir kumpulan A Piala Antara Benua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

"Ia merupakan perlawanan yang paling sukar kerana lawan (Nigeria) merupakan pasukan yang kuat dan telah pun menempah tiket ke Sukan Olimpik di Beijing Ogos depan," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad.

Sathianathan berkata corak perlawanan Nigeria ketika menewaskan Ireland 3-1 semalam amat tersusun dan tenang kerana mereka telah terdedah dengan corak permainan yang tinggi di peringkat kelab.

"Ini adalah peluang untuk pemain-pemain kita belajar walaupun Nigeria tidak membariskan sebahagian skuad utamanya," katanya.

Skuad bawah 23 tahun Malaysia semalam mencipta kejutan apabila menundukkan Iraq 1-0 setelah tewas pada perlawanan pertama kepada Ireland 1-3 Khamis lepas.

Bagi perlawanan menentang Nigeria, Sathianathan berkata dia perlu melihat dari aspek kecergasan pemain terlebih dahulu sama ada mengekalkan barisan pemain yang sama ketika menewaskan Iraq atau sebaliknya.

"Para pemain kemungkinan berada dalam keadaan keletihan kerana telah bermain dua perlawanan dalam tempoh empat hari," katanya.

Sathianathan juga memuji sokongan para peminat yang tetap memberi sokongan kepada pemain-pemain negara dah berharap ia dapat diteruskan semasa menentang Nigeria esok.

Walaupun tipis, Malaysia tetap berpeluang untuk layak ke separuh akhir jika berjaya mengatasi Nigeria sambil mengharapkan Iraq dan Ireland tewas dalam baki perlawanan mereka.

Barisan kemungkinan skuad negara: Mohd Nasril Mat Nourdin, Mohd Nasriq Baharom, Norhafiz Zamani Nisbah, Mohd Daudso Jamaluddin, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Mohd Safee Sali, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd Syukor Adan, Azi Sharil Azmi dan Mohd Bunyamin Omar.

 

Dipetik dari Bernama

 

 

Cetak laman ini