Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

India Tumpaskan Malaysia Tempah Tempat Ke Perlawanan Akhir

 


Dikemaskini : 18 May 2008 11:23 AM

 

India menundukkan Malaysia 2-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk menempah tempat ke perlawanan akhir kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah kali ke-17 di Stadium Azlan Shah di sini, Sabtu.

India, pasukan ranking kesembilan dunia, akan bertemu Argentina pada perlawanan akhir Ahad.

Pada perlawanan ini, barisan muda India yang dilatih A.K. Bansal menjaringkan gol menerusi Shivendra Singh pada minit ke-12 dan Sandeep Singh (minit ke-15) manakala gol Malaysia dijaringkan Mohd Amin Rahim pada minit ke-70 hasil pukulan sudut penalti.

Dengan kemenangan keempat ini, India mengumpul 12 mata untuk memintas Pakistan, yang tidak beraksi hari ini dan hanya memungut 10 mata, bagi menduduki tangga kedua, untuk layak ke perlawanan akhir buat kali keempat sejak kejohanan ini mula diadakan pada 1983.

Sementara itu, Malaysia, pasukan ranking ke-14, di tempat terakhir dengan empat mata hasil kemenangan 2-0 ke atas New Zealand, seri 2-2 dengan Kanada dan empat kali tewas iaitu kepada Pakistan (0-2), Argentina (0-5), Belgium (2-4) dan kekalahan kepada India.

Jurulatih Malaysia, Sarjit Singh berkata walaupun menduduki tempat terakhir, pasukannya dibarisi pemain muda dan kurang pengalaman sebagai sebahagian persediaan untuk menghadapi Piala Dunia Hoki 2010 di New Delhi, India dan Sukan Olimpik London 2012.

"Mereka telah menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka tetapi nasib tidak berpihak kepada mereka sepanjang kejohanan ini. Lagipun, pemain-pemain saya tidak mendapat rehat yang cukup selepas kempen Kelayakan Olimpik bulan lepas di Kakamigara, Jepun," katanya.

Dalam dua lagi perlawanan, Argentina mengukuhkan kedudukan di tangga teratas pada kejohanan tujuh negara ini selepas memperoleh satu mata setelah seri 2-2 dengan Kanada manakala New Zealand menundukkan Belgium 3-1.

Argentina, pasukan ketujuh dunia, memungut 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri.

Argentina dan India akan menentukan juara Piala Sultan Azlan Shah pada pukul 8 malam Ahad. Sebelum itu, Pakistan akan menentang New Zealand bagi penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Belgium dan Kanada bertemu bagi tempat kelima dan keenam.

 

Dipetik Dari Bernama

 

 

Cetak laman ini