|
KBS Tak
Jangka
Masalah CYC |
Dikemaskini :
24 May 2008 11:35 PM
Kementerian Belia
dan Sukan tidak
menjangka Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM)
tidak akan
membenarkan
penganjuran
Kejohanan Piala
Juara-juara Belia (CYC)
di negara ini tahun
ini kerana kejohanan
itu tahun lepas
berjalan lancar.
Menterinya Datuk
Ismail Sabri berkata
sehubungan itu
kementerian membuat
andaian tidak akan
mempunyai masalah
untuk
menganjurkannya lagi
tahun ini.
"Saya akan berjumpa
dengan Presiden FAM
DYMM Sultan Pahang
Isnin ini bagi
membincangkan
perkara tersebut,"
katanya kepada para
pemberita selepas
merasmikan
Persidangan Majlis
Perundingan Belia
Negara, dekat sini.
Ismail juga berkata
pihaknya tidak
mendapatkan
kebenaran FAM dalam
menganjurkan
kejohanan itu kerana
perjanjian
penganjuran hanya
melibatkan pihak
kementerian dan
pihak penganjur
Gifted Groud Limited
sahaja.
Beliau berkata
demikian ketika
diminta mengulas
tindakan FAM tidak
membenarkan
penganjuran
kejohonan itu yang
dijadualkan Ogos ini
kerana tidak
mengiktiraf
kejohanan itu ekoran
pihak penganjur
membelakangkan
peranan FAM.
"Kita tak perlu
dapat persetujuan
FAM untuk buat
perjanjian itu dan
dari segi perjanjian,
kita tak perlu dapat
persetujuan FAM
berhubung pembayaran
penganjuran sebanyak
RM17 juta," katanya.
Kementerian itu
telah membuat
pembayaran sebanyak
RM8 jtua setakat ini
dan masih ada baki
RM9 juta.
Ismail juga berkata
beliau akan
mendapatkan
pandangan penasihat
undang-undang
kementeriannya Isnin
ini berhubung isu
itu sama ada
perjanjian itu boleh
dibatalkan.
"Saya juga nak tahu
sama ada sekiranya
perjanjian itu
dibatalkan, kita
boleh dapat balik
bayaran yang telah
dibuat dan bagaimana
kedudukan baki
bayaran itu,"
katanya.
Beliau berkata isu
itu tidak akan
dibawa ke kabinet
dan menambah kata
beliau sedia memberi
penjelasan kepada
kabinet sekiranya
diminta berbuat
demikian.
Kejohanan bawah 19
tahun itu yang telah
diadakan buat julung
kali di negara ini
tahun lepas, telah
menarik 16 pasukan
termasuk Malaysia
dan juara bertahan
Manchester United.
Dipetik Dari Bernama
.