Walaupun pasukannya berada dalam kumpulan sukar, jurulatih Selangor Dollah Salleh menyifatkan peluang setiap pasukan dalam Kumpulan A sebagai seimbang kerana setiap pasukan mempunyai kekuatan hampir setara.
" Ia boleh dikatakan kumpulan sukar, tetapi bagi saya peluang setiap pasukan seimbang dan setiap pasukan berupaya untuk menduduki dua tempat teratas kumpulan. Apa yang penting ialah kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mana-mana pasukan ".
"Saya juga melihat Kumpulan C sebagai kumpulan yang mencabar, dan hanya Kedah kelihatan bernasib baik berada dalam kumpulan yang lebih mudah, " kata Dollah ketika ditemui selepas undian semalam.
Bagi pengurus Kedah, Datuk Othman Aziz dia menyifatkan pasukannya berpeluang cerah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir dan hanya menyifatkan hanya Johor FC sebagai pencabar utama Hijau Kuning dalam Kumpulan B.
"Saya yakin pasukan kami mampu mara ke suku akhir, namun kesulitan yang kami hadapi ialah kepadatan jadual perlawanan kerana kami masih terbabit dalam saingan Piala FA dan juga Piala AFC. Apa pun, kami tetap menganggap kesemua perlawanan dalam kumpulan penting dan kami mahu mempertahankan kejuaraan," kata Othman.


