Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Piala Uber Terkubur

 


Dikemaskini : 15 May 2008 03:08 AM

 

Hajat Malaysia untuk mencipta sejarah melangkah ke separuh akhir Piala Uber terkubur apabila tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam saingan suku akhir di Stadium Tertutup Istora Senayan, di sini, Rabu malam. Mata tunggal Malaysia disumbangkan oleh pemain perseorangan utama negara, Wong Mew Choo yang menewaskan Hwang Hye Youn 21-16, 21-5.

Gandingan Lim Pek Siah/Wong Pei Tty bagaimanapun gagal menyumbang mata kedua apabila kalah 13-21, 4-21 kepada pasangan Lee Hyo Jung/Kim Min Jung.

Perseorangan kedua Malaysia, Julia Wong juga gagal menyaingi ketangkasan Lee Yun Hwa selepas kecundang 14-21, 13-21 sebelum gandingan lawan, Lee Kyung Won/Ha Jung Eu mengesahkan tiket separuh akhir Korea Selatan dengan menjinakkan Chin Eei Hui/Ng Hui Lin 17-21, 21-16, 21-12. Kekalahan ini menyamai pencapaian Malaysia ketika pertama kali layak secara merit pada pusingan akhir di Jakarta pada edisi 2004 apabila tewas 0-3 di peringkat suku akhir kepada juara bertahan, China. Jika Malaysia berjaya ke separuh akhir, lawan yang menanti ialah China yang memburu gelaran ke-11 Piala Uber.

Mew Choo yang ditemui selepas perlawanannya berkata biarpun gembira menang mudah ke atas lawannya, beliau sedih kerana pasukan Malaysia masih belum mampu melangkah ke separuh akhir.

"Memang kita menjangka tewas dalam saingan beregu tetapi lawan nampaknya juga kian kuat dalam acara perseorangan," katanya.


 

 

Cetak laman ini