Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Sukma Jadi Medan Pemilihan Bagi Menyertai Skuad Pelapis Negara

 


Dikemaskini : 15 May 2008 11:22 PM

 

Sukan Malaysia ke-12 (Sukma) yang akan berlangsung di Terengganu mulai 30 Mei ini akan menjadi medan pemilihan bagi mengisi kekosongan dalam skuad pelapis tinju negara.

Setiausaha Agung Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Mejar (B) Maulud Othman berkata sekurang-kurangnya 10 peninju terbaik daripada temasya dwi-tahunan itu akan dipilih untuk menyertai skuad pelapis negara.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk peninju muda memperkembangkan kerjaya mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Maulud berkata sehingga hari ini, terdapat lapan peninju dalam skuad pelapis negara, dan 10 lagi peninju akan dipilih semasa Sukma nanti.

Katanya, jurulatih skuad elit negara, Ramli Yahya akan dihantar ke Terengganu bagi membuat tinjauan ke atas calon yang layak untuk mengisi kekosongan itu.

"Setelah menyertai skuad pelapis selama tiga bulan, mereka yang mempunyai potensi dan menunjukkan kecemerlangan dalam sukan tinju akan berpeluang untuk diserapkan ke dalam skuad elit negara," katanya.

Maulud berkata bagi memantapkan lagi skuad tinju negara, pihaknya akan mengambil jurulatih dari Cuba, dan perkara ini telahpun dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun keputusan MSN akan hanya diketahui selepas berakhirnya Sukma di Terengganu nanti, katanya.

 

 

Dipetik Dari Bernama
 

 

Cetak laman ini