Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Tekanan Makin Memuncak Bagi Pasangan Beregu Tempah Tiket Ke Olimpik Beijing

 


Dikemaskini : 24 May 2008 11:33 PM

 

 

Tekanan semakin memuncak bagi gandingan utama negara Choong Tan Fook/Lee Wan Wah untuk menempah tempat mewakili negara ke Sukan Olimpik Beijing pada Ogos ini.

Kecederaan bahu yang dialami Wan Wah semasa berlangsung pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta minggu lepas, boleh mengakibatkan pasangan veteran itu terkeluar daripada saingan untuk memilih dua pasangan beregu utama lelaki yang layak ke Beijing.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Mohd Salleh berkata ketiga-tiga pasangan beregu akan menjalani ujian perubatan bagi menguji tahap kecergasan mereka sebelum keputusan dibuat untuk memilih pasangan yang akan mewakili negara.

"Kita mempunyai tiga pasangan beregu lelaki yang kuat dan layak tetapi hanya dua pasangan sahaja yang dibenarkan beraksi dalam kejohanan itu. Jadi saya tidak akan memutuskan dua pasangan mana yang akan mewakili negara sehinggalah tarikh akhir iaitu hujung bulan ini," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya mesyuarat agung tahunan BAM di sini, Sabtu.

Sesebuah negara hanya boleh menghantar dua pasangan beregu jika kesemua mereka berada dalam ranking 16 pemain terbaik dunia.

Di akhir tarikh kelayakan pada 1 Mei, tiga pasangan Malaysia berada dalam ranking 16 pemain terbaik dunia -- Tan Fook/Wan Wah (ke-4), Kien Keat/Boon Heong (ke-5) dan Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari (ke-11). BAM mempunyai hak mutlak untuk menamakan dua gandingan terbaik mereka -- tanpa mengira urutan ranking dunia.

Di sebalik prestasi yang tidak konsisten, pasangan negara yang berada di kedudukan ke-5 dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong masih mempunyai peluang terbaik untuk dipilih ke Olimpik.

Selepas persembahan memberangsangkan dalam perlawanan separuh akhir Piala Thomas menentang China, pasangan No. 11 dunia Zakry/Fairuz kini merupakan taruhan terbaik sekiranya pasangan veteran itu tidak terpilih ekoran masalah kecergasan.

Zakry/Fairuz menumpaskan pasangan China Xie Zhongbo/Guo Zhengdong 21-17, 21-15 dalam pertembungan di separuh akhir.

Nadzmi berkata BAM akan melihat dari setiap sudut dalam memilih pemain dan beliau percaya badminton dapat menyumbang pingat dalam Olimpik.

"Jika pemain perseorangan terkemuka negara Lee Chong Wei boleh terus memperbaiki permainan dan mengekalkan prestasinya, beliau boleh menjadi rakyat Malaysia yang julung kali memenangi pingat dalam Olimpik," katanya.

Beliau berkata beberapa pemain yang akan mewakili negara dalam Sukan Olimpik akan direhatkan daripada menyertai beberapa kejohanan sebelum ke Olimpik.

"Kami mahu memastikan mereka membuat persediaan yang cukup dan memberi tumpuan kepada permainan," katanya.

Pemain No. 2 dunia itu menumpaskan musuh ketatnya iaitu pemain No. 1 dunia Lin Dan dari China 21-12, 21-14 dalam saingan separuh akhir Piala Thomas.

Selepas kemenangan memberangsangkan itu, Chong Wei semestinyalah mengetepikan keraguan terhadapnya untuk menjadi sandaran bagi membawa pulang pingat dari kejohanan di Beijing.

 

Dipetik Dari Bernama

 

 

Cetak laman ini  

.