Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Tuan Rumah Berbeza Bagi Piala Thomas Dan Uber 2010

 


Dikemaskini : 18 May 2008 10:41 PM

 

Ketika Malaysia hampir pasti menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Thomas 2010, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih mengadakan perbincangan dengan dua negara bagi menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Uber.

Setiausaha Agung BWF Stuart Borrie berkata apabila mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk badminton dunia itu tahun lepas memutuskan untuk mengadakan Piala Thomas dan Piala Uber di tempat yang berlainan, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang membida untuk acara lelaki (Piala Thomas).

"Jadi Malaysia berkemungkinan menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Thomas 2010 tetapi BWF masih mengadakan perbincangan dengan dua negara kuasa utama acara wanita, untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Uber," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad.

Dua negara kuasa utama acara badminton wanita itu adalah China dan Korea Selatan.

Borrie berkata berdasarkan keputusan AGM itu, Piala Thomas dan Piala Uber akan diadakan dalam tahun yang sama tetapi di negara yang berbeza dan pada bulan yang berlainan.

Beliau berkata edisi 2010 akan menjadi ujian bagi pengasingan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber kerana BWF mesti memastikan kedua-dua acara akan menarik minat yang setara daripada penaja dan pengiklan.

"Ada minat yang mendalam terhadap Piala Thomas tetapi tidak dalam Piala Uber. Jadi BWF masih menerima maklum balas daripada pihak-pihak berkaitan," katanya.

Borrie berkata keputusan akhir bagi menentukan tuan rumah bagi pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber akan dibuat dalam mesyuarat majlis BWF pada Sukan Olimpik Beijing Ogos ini.

 

Dipetik dari Bernama

 

 

Cetak laman ini