Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Tuanku Mizan Ketuai Cabaran Kejohanan Sirkit Kuda Lasak Malaysia

 


Dikemaskini : 24 May 2008 11:29 PM

 

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengetuai cabaran pada Kejohanan Sirkit Kuda Lasak Malaysia edisi kedua di Taman Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu di Lembah Bidong dekat sini.

Seri Paduka Baginda yang merupakan satu-satunya atlet negara yang telah berjaya mendapat dua sijil kelayakan penyertaan (COC) dan melayakkan diri untuk bertanding pada Kejohanan Kuda Lasak Dunia 2008 (WEC 2008) juga di sini November ini, akan beraksi dalam perlumbaan kategori 160km.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata perlumbaan itu merupakan kejohanan kedua anjuran Institut Sukan Negara daripada enam sirkit yang dirancang sempena penganjuran WEC 2008.

"Perlumbaan kategori 160km yang disertai 13 peserta termasuk Tuanku Mizan dijadual tamat kira-kira 1 petang esok," katanya kepada pemberita selepas majlis perlepasan perlumbaan yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Selain kategori 160km, Ahmad berkata kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 itu turut membabitkan perlumbaan sejauh 40km, 80km dan 120km.

"Seramai 18 atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2008 turut bertanding dalam perlumbaan kategori 40km," katanya.

Selain memberi peluang kepada atlet yang bakal mewakili negara untuk melayakkan diri ke WEC 2008, kejohanan itu juga memberi peluang kepada atlet Sukma 2008 di Terengganu, yang masih belum mendapat kelayakan bertanding, memperolehi kelayakan bagi mewakili negeri masing-masing.

Bagi melayakkan diri menyertai WEC 2008, para peserta perlu mendapatkan dua sijil COC yang diperolehi menerusi penyertaan dalam mana-mana kejohanan yang diiktiraf oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa.

Edisi ketiga Sirkit Kuda Lasak Malaysia bakal diadakan di sini Julai depan.


 

Dipetik Dari Bernama

 

 

Cetak laman ini  

.