|
Ismail
Sabri Akan
Jumpa Bekas
Pemain
Kebangsaan,
PHM |
Dikemaskini :
01 Aug 2008 11:48 PM
Menteri Belia dan
Sukan Datuk Ismail
Sabri Yaakob berkata
beliau bercadang
mengadakan pertemuan
dengan wakil bekas
pemain hoki
kebangsaan pada
Isnin depan
berhubung usaha
mengembalikan zaman
kegemilangan hoki
negara di peringkat
antarabangsa.
Katanya Kementerian
Belia dan Sukan (KBS)
memandang serius
desakan lebih 100
bekas pemain hoki
negara yang meminta
campur tangan
kerajaan bagi
mengembalikan
kegemilangan hoki
negara dan pihaknya
juga akan berbincang
dengan Persekutuan
Hoki Malaysia (PHM)
tidak lama lagi.
Beliau berkata
perkara itu adalah
antara agenda utama
yang dibincangkan
dalam mesyuarat
pasca-kabinet
kementerian itu Rabu
lepas.
"Jika sesuatu sukan
itu mengalami
kemerosotan, adalah
tanggungjawab KBS
untuk mencari jalan
memulihkan
pencapaiannya. Ia
bukan sahaja
melibatkan hoki
sahaja tetapi juga
bola sepak dan
badminton," katanya.
Dalam surat terbuka
bertarikh 22 Julai
kepada Timbalan
Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun
Razak yang juga
Pengerusi
Jawatankuasa Kabinet
Mengenai Pembangunan
Sukan, seramai 102
bekas pemain negara
dari era 1950-an
hingga 2000,
mendesak kerajaan
dan semua pihak yang
mendokong sukan itu,
berusaha
mengembalikan imej
hoki negara.
Kandungan surat itu
turut menegaskan
bahawa Malaysia
suatu ketika dahulu
merupakan salah satu
kuasa utama hoki
dunia, tetapi kini
zaman
kegemilangannya
tenggelam malah
dalam keadaan
genting.
- Bernama