Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

INFORMASI SUKAN BADMINTON

 

 

 

PAUTAN LAMAN WEB BADMINTON

 

Nusa Mahsuri
BAM

 

TERKINI DARI SUKAN BADMINTON

 

Kemahuan Mew Choo penentu kejayaan berterusan

Oleh MARKUS LIM

IMPIAN adakalanya boleh menjadi kenyataan!. Dan bagi pemain badminton wanita perseorangan negara, Wong Mew Choo, kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka China di Guangzhou pada Ahad lepas membuktikan Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pemain badminton wanita yang berbakat untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Lebih penting lagi, kejayaan sulung Mew Choo itu menyuntik semangat baru kepada barisan pemain badminton wanita negara bahawa misi untuk memburu kejayaan di pentas antarabangsa bukan sesuatu yang jauh daripada genggaman mereka, jika ia diiringi dengan semangat daya juang dan kekentalan yang tinggi.

Berbekalkan semangat Malaysia Boleh, Mew Choo berjaya menamatkan kemarau penantian negara selama lebih tiga dekad dalam meraih kejuaraan dunia semenjak era Sylvia Ng. Bahkan kejayaan itu bertambah manis apabila ia dicapai di hadapan ribuan penyokong China sendiri.

Sepanjang kejohanan tersebut, Mew Choo berjaya menyekat dominasi pemain wanita China termasuk penyandang juara dunia perseorangan wanita, Zhu Lin; pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004, Zhang Ning dan pemain badminton wanita nombor satu dunia; Xie Xingfang.

Pujian seharusnya diberikan kepada kekentalan Mew Choo kerana pencapaian menewaskan tiga pemain wanita terkemuka dunia bukanlah satu usaha yang mudah tetapi menuntut konsentrasi dan persiapan mental yang tinggi.

Lebih-lebih lagi, pemain-pemain berkenaan tampil dengan ranking dan reputasi yang cukup menggerunkan, sesuatu yang cukup untuk menakutkan pihak lawan.

Ternyata, reputasi tinggi pada pihak lawan tidak sekali pun menggoncang keyakinan dan semangat daya juang Mew Choo. Bagi pemain yang hanya mula beraksi di peringkat antarabangsa lima tahun lalu, beliau tidak membenarkan pihak lawan menguasai rentak permainan, sebaliknya mengajak lawan untuk bermain dalam rali yang panjang.

Dari segi moral pemain, kejayaan Mew Choo di Terbuka China sudah tentu akan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain badminton yang lain bahawa harapan untuk menggondol pingat pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing September tahun depan, masih luas terbuka. ( Dipetik Dari Utusan Malaysia Online )